Karyanet ditutup sementara!
Malang sekali untuk pengguna Bahasa Melayu di Internet! Karyanet ditutup sehingga pertengahan April untuk kerja-kerja penyelenggaraan (Sila cari Karyanet "Sistem ini ditutup" dan tekan "Cached" pada hasil carian dari Karyanet).
Ini agak luar biasa. Kebiasaannya, laman-laman web ditutup sementara dalam beberapa jam. Yang lebih biasa, kerja-kerja menaik taraf dibuat pada komputer pelayan berasingan. Ini membenarkan pelayan asal terus berkhidmat untuk pengguna. Atau paling kurang, sesetengah perkhidmatan penting masih dibiar beroperasi.
Usah gusar! Setelah seketika membuat pencarian, terjumpa sambungan dari Dewan Bahasa dan Pustaka ke perkhidmatan "Rujukan Kamus Terbitan DBP". Nampak seperti masih perlu pembaikan. Sebagai contoh, ia tidak terpapar secara baik dalam Firefox. Kalau anda pengguna Internet Explorer, laman ini tidak memberi apa-apa masalah paparan. Satu lagi kecacatan ialah setelah kotak carian diisi, anda perlu menekan butang "Cari". Menekan kekunci "Enter" tidak memberikan apa yang anda kehendaki.
Walau bagaimanapun, laman Rujukan Kamus Terbitan DBP tersebut adalah apa yang saya harapkan selama ini. Carian bukan sahaja dibuat ke atas Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja tetapi ke atas Tesaurus Bahasa Melayu Dewan, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Kamus Pelajar, Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dan Kamus Komputer. Perkataan Melayu atau Inggeris boleh diisi ke dalam kotak cariannya. Apa lagi yang kita mahu?
(DBP juga ada laman yang lebih baik paparannya melalui laman "Carian Kata". Tetapi masih ada juga masalah penggunaan seperti ulang papar apabila checkbox dipilih. Cuba tekan "Semua" dan kemudian cuba buang semua pilihan kecuali satu.)
0 komentar:
Catat Ulasan